Jumaat, 13 April 2012

Penyejuk Mata Dan Menjemput Bidadari

Buat kaum Adam, para muslimin, ikhwani yang dihormati, yang bakal menjemput bidadari sang ratu hati, dan yang sudah menjemput bidadarinya.

Juga buat kaum Hawa, para muslimat, yang bakal dijemput sebagai bidadari, dan yang sudah dijemput dan sedang melalui alam perkahwinan.

Sekalian manusia menginginkan perkahwinan yang bahagia, alam cinta yang indah. Tiada yang menginginkan perkahwinan yang penuh duka dan duri. Inginkan bahagia, maka hendaklah dituruti jalan yang betul, agar sampai ke destinasi bahagia. Apakah yang menjadikan satu perkahwinan itu bahagia? Apakah jalannya?

Mahligai cinta yang bahagia lagi berseri, ada harganya. Harganya, adalah persediaan dan usaha yang betul sebaik-baiknya, sehingga layak bagi kita untuk memiliki mahligai bahagia, kurniaan Allah s.w.t. Persediaan demi persediaan. Usaha demi usaha.

Apakah usaha-usaha yang perlu kita lakukan, apakah tindakan-tindakan yang perlu kita ambil? Ada beberapa perkara yang perlu kita teliti.

Asas dan Halatuju Mahligai Cinta

Antara aspek penting yang perlu kita beri perhatian. Asas dan halatuju mahligai yang dibina.

"Dan izinkan kujemput bidadari. Untuk bersama menuju-Mu mengisi hari."

Sedap dan indah didengar dan dilafaz. Namun lebih indah lagi, apabila usaha ke arah menujuNya dilakukan dan dilaksanakan. Asas dan halatuju cinta insani ialah cinta Ilahi. Apabila asasnya betul, asasnya kukuh, nescaya bahagia hadir mendamaikan kehidupan. Sekiranya asasnya rapuh, bahagia menjadi sesuatu yang amat sukar dimiliki, very elusive.

Dan semestinya, apabila bercinta, hendak bercinta sehingga ke syurga. Syurga akhirat, Jannatullah.



Firman Allah Ta'ala:

Wahai manusia, sesungguhnya kamu telah bekerja dengan bersungguh-sungguh menuju Tuhanmu, maka pasti kamu akan menemui-Nya.
*Manusia di dunia ini baik disedarinya atau tidak adalah dalam perjalanan kepada Tuhannya. Dan tidak dapat tidak dia akan menemui Tuhannya untuk menerima pembalasanNya dari perbuatannya yang baik dan buruk.

Inilah halatuju mahligai cinta yang dibina. Cinta hingga ke syurga. Begin with the end in mind. Apabila betul dan tepat halatuju, disusuli dengan usaha dan amal yang bertepatan, disulami doa dan tawakkal kepada Maha Pemberi, nescaya mahligai cinta yang dibina bahagia, berkekalan dan berseri di bawah naungan redha dan rahmat Allah s.w.t.

Apakah usaha dan amal tersebut? Ia adalah usaha dan amal yang melayakkan kita kelak untuk menerima kitab amal dengan tangan kanan. Sama-sama kita renungkan.

Akhlaq Mulia

Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Kaum mukminin yang paling sempurna perihal keimanannya ialah yang terbaik akhlaqnya antara mereka itu, dan yang terbaik antara kalian ialah yang terbaik akhlaqnya terhadap kaum wanitanya."
(Riwayat Imam Tirmidzi)

Akhlaq adalah satu aspek atau kriteria yang dinilai oleh ibubapa dalam pertimbangan mereka tentang sejauh mana anak mereka bersedia dalam menggalas tanggungjawab sebuah perkahwinan. Akhlaq diri yang terpuji mampu meyakinkan ibubapa untuk 'melepaskan' anda ke dunia lain yang lebih mencabar, iaitu perkahwinan.

Ia juga satu kriteria yang dinilai oleh bidadari yang ingin dijemput, dan ibubapa kepada bidadari itu.

Sabda Rasulullah s.a.w. :

"Apabila datang (meminang) kepada kamu orang yang kamu redha agama dan akhlaqnya, maka hendaklah kamu mengahwinkannya. Sekiranya kamu tidak melakukannya nescaya akan timbul fitnah dan kerosakan di atas muka bumi."
(HR Tirmidzi – Hadis Hasan Gharib)

Hadis ini, pelajaran kepada para ibubapa, juga yang bakal menjadi ibubapa kelak:
1. Kriteria penilaian nombor satu untuk bakal menantu, adalah kriteria akhlaq mulia.
2. Bukan bermakna kriteria harta, keturunan dan keindahan wajah tidak penting. Semua itu perlu dipertimbangkan, namun nombor satu adalah berakhlaq mulia.
3. Didiklah putera-puteri kesayangan agar menjadi Muslim dan Muslimah yang berperibadi mulia dan indah.

Pelajaran buat yang bakal menjemput bidadari dan yang bakal dijemput, berusahalah hiasi diri dengan akhlaq indah dan mulia, mencontohi teladan utama kita Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a., dan daripada mereka yang mengalir keindahan akhlaq baginda s.a.w. pada diri mereka, dikalangan para ulama', murabbi, keluarga terdekat dan insan-insan yang soleh dan solehah.

Satu Amanah

Sabda Rasulullah s.a.w. , sebahagian daripada hadis yang panjang:

Maka bertaqwalah kalian kepada Allah dalam hubungan dengan wanita, sesungguhnya kamu telah mengambil mereka (sebagai amanah) melalui perjanjian dengan Allah. (Riwayat Muslim)

Buat para muslimin dan para suami, beramallah dengan amal ahli syurga iaitu amal-amal soleh, dan jadikanlah isteri kita wanita syurga.

Buat para muslimat dan para isteri, taatilah suami kalian, selagimana halatujunya adalah redha dan syurga Allah.

Semoga redha Allah sentiasa bersama dengan kita.

- Artikel iluvislam.com

Khamis, 12 April 2012

Why I Love Him?

Cinta itu apa sebenarnya?


Ramai orang bagi definisi cinta tapi susah nak faham. Ibnul Qayyim al-Jauziyah dalam bukunya Raudhatul Muhibbin memberi kaedah yang mudah. Tq ulamaku.

"Cinta boleh lenyap bersama lenyapnya sebab."

Sebab?

Why?

Sebab adalah nyawa cinta.

Tanpa sebab, matilah cinta.

Sebab sembarangan hanya menumbuhkan cinta sembarangan.

Cinta abadi memerlukan sebab yang abadi.

Tertipulah orang yang anggap cintanya suci dan abadi tapi sebabnya pada sesuatu yang tidak abadi...

sebab dia pandai...

sebab dia cantik...

sebab dia hebat...

Sedangkan Allah mempunyai segala sebab yang melayakkan Dia menjadi cinta nombor satu.

Kalau dia pandai. Allah Maha Pandai.


Kalau dia cantik, Allah Maha Cantik.

Kalau dia hebat, Allah Maha Hebat.

Allah yang ciptakan dia dan semua mahkluk hebat di dunia ini.

Allahlah patut duduk nombor satu dalam sebab cinta kita.

Kalau 'sebab' kita cinta dia kerana Allah, maka tunjukkan pada Allah, apa buktinya?

Sudah tentu buat apa yang Allah suruh, jauhi apa yang Allah larang.

Apa dia?

Perlu ke majlis ilmu untuk tahu, bacaan berfaedah dan dekati orang-orang soleh.

Jom!

- Artikel iluvislam.com

Rabu, 11 April 2012

Tersenyumlah (。◕‿◕。)

Satu perkara yang mudah namun ada kalanya ia menjadi begitu sukar. Mengukir senyuman di bibir kadang-kadang menyembunyikan kedukaan tersembunyi di dasar hati. Namun hanya diri ini yang mengerti.

Abu Darda' pernah berkata :

"Sesugguhnya aku akan tertawa untuk membahagiakan hatiku"

Pernah jua Rasulallah SAW tertawa hingga menampakkan gigi gerahamnya, tapi tidak pernah pula baginda SAW ketawa berdekah-dekah.

Ada pepatah menyebut :

"Janganlah terlalu banyak tertawa, kerna terlalu banyak tertawa akan mematikan hati"

Tapi ambillah jalan yang wasthiyyah dalam keadaan bersederhana

"Senyummu di kala bertemu saudaramu bernilai sedeqah"

Rasulallah SAW bersabda yang bermaksud :

"Meskipun sekadar menampakkan wajah ceria di saat kau bertemu dengan saudaramu"

Indahnya saranan Rasulallah SAW ini. Dengan senyuman sahaja dapat menjalinkan hati-hati manusia walaupun ada kalanya lisan lidah tidak jelas difahami, warna kulit jauh beza sekali. Namun dengan hanya menguntum senyuman sudah bisa untuk mentautkan hati-hati yang tersembunyi tapi begitu berarti.

Ahmad Amin menyebut dalam Faidhul Kathir :

"Orang yang murah dengan senyuman dalam menjalani hidup ini bukan sahaja orang yang paling mampu membahagiakan diri sendiri, tetapi jua adalah orang yang multi tasking, orang yang paling kuat dalam mengahadapi kesulitan dan memecahkan rungkaian persoalan"

Ada sahaja manusia yang membuatkan kehidupannya menjadi bermuram durja bahkan mereka yang berada di sekelilingnya turut merasai derita muram durja itu hanya kerana sifatnya yang gemar membesarkan perkara yang kecil. Menyibukkan diri dengan perkara yang kurang penting sampai terlebih pula.


Akhirnya dunianya menjadi hitam dan kelam. Kemudian pula menyebarluaskan kekelaman yang ada menghantui benak sanubarinya kepada orang yang berada di sekitarnya. Sifat inilah yang banyak dijangkiti pada mereka pada hari ini. Benda yang hanya sekecil seekor tikus dihebohkan seumpama seekor gajah. Akhirnya segala apa yang ada dalam genggamannya dan sisi pandangnya tidak memberikan sebarang arti padanya, apatah lagi menggembirakannya. Mereka tidak merasa puas dan senang dengan sebanyak mana sekalipun segala bentuk kesenangan yang berada dalam genggamannya.

Ramai orang yang telah sisi pandang hidupnya dikaburi. Mereka sudah tidak dapat melihat bahkan menghayati keindahan hidup ini. Sisi pandang mereka hanya dapat mengenal materialistic yang acap kali menjadi kayu ukur dalam segenap aspek kehidupannya. Mereka cuba menggenggam segala banyak mungkin materialistic untuk menjadi sumber kekayaan. Akan tetapi mereka sering lupa untuk menyoal bagaimana hendak membuat hati mereka bahagia?

Jika kita hanya mampu untuk menangani perkara-perkara kecil dalam menulusuri kehidupan ini, berarti kehidupan kita ini tidak akan melebihi perkara-perkara kecil sahaja dalam hidup ini. Namun, jika kita berkeyakinan untuk berani berdepan perkara-perkara besar dalam menulusuri arus kehidupan, maka kita akan memiliki semangat dan azam yang besar yang bisa untuk memusnahkan segala bentuk halangan dan dugaan yang bakal menerjah tiba.

Jiwa yang senantiasa menguntum senyuman akan melihat kesulitan dengan penuh ketenangan dan kelapangan sambil terus mengorak langkah untuk mengatasinya. Jika mereka berdepan dengan sebuah simpulan persoalan, mereka akan menguntum senyuman. Mereka turut mempamerkan senyuman ketika sedang berusaha merungkai tali-tali persoalan yang menanti dan masih tersenyum ketika mampu menanganinya. Akan tetapi, jiwa yang bermuram durja akan melihat kesulitan itu dengan sudut pandang penuh kesedihan. Saban kali menemui kesulitan, ia akan mengelak akannya atau jua memperbesarkannya, semangatnya mulai luntur dan langkahnya mulai longlai serta mula mencipta alasan dengan lafaz : "kalau".. "bila"... dan "jika"...

Sesugguhnya kita amat mendambakan kepada sekuntum senyuman, wajah yang ceria, hati yang lapang, akhlaq yang mulia, jiwa yang lembut dan ketulusan dan kelunakan dalam menutur kata.

"Sesungguhnya Allah swt telah mewahyukan kepadaku (Muhammad SAW) agar kalian bersikap tawadhu', hingga tidak ada seorang pun yang berbuat dzalim terhadap orang lain dan tidak ada seorang pun yang berlaku angkuh terhadap orang lain"

Jangan terus bercerita tentang masalah sampai lupa untuk berbicara tentang solusi. Berbahas tentang masalah seolah-olah tiada lagi jalan keluar darinya sedangkan sifat kita sendiri yang suka memperbesarkan masalah. Tidak salah untuk berbicara tentang masalah, namun apa yang paling utama adalah mencari solusi dalam mengatasi masalah itu.

Jangan bersedih kerana kita telah melalui kesedihan itu semalam dan sama sekali ia tidak dapat memberi manfaat jika kita terus diambang kesedihan. Pandanglah ke belakang untuk menilai semula masalah dan mulakan langkah untuk mengatasi masalah hari ini serta teruskan usaha untuk memadam kesedihan hari semalam.


Ketika kita sedang bersedih dek kerna kemiskinan mahu pun kesengsaraan yang sedang dideritai, bukankah kesedihan itu hanya akan menambahkan lagi kesusahan kita? Ketika kita sedang bersedih di atas kritikan dan kata-kata hina lagi nista pada kita, pastilah kesedihan itu hanya akan menguntungkan dan mengobarkan lagi semangat mereka yang selama ini mahu melihat kita terus jatuh?

Janganlah dihimpit kesedihan kerana kesedihan hanya akan membuatkan air yang manis manjadi pahit, sekuntum mawar yang mekar nan indah kelihatan layu, kebun yang luas menghijau kelihatan seperti padang pasir yang kering kontang, wajah yang ceria menjadi masam mencuka, hati yang tenang berubah menjadi gundah gulana, kehidupan yang luas di ats dunia ibarat seperti meringkuk dalam bilik penjara.

LA TAHZAN.. (。◕‿◕。)

Isnin, 9 April 2012

Bila Dilanda Tekanan dan Dukacita….

Assalamualaikum w.b.t/لسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ.....

Sebagai seorang manusia biasa, kita tidak akan dapat lari daripada bebanan dan ujian. Kerap kali kita dilanda ujian dengan rasa sedih dan dukacita, rasa lemah dan malas, rasa kedekut dan penakut, bebanan hutang dan tekanan daripada penindasan orang.
Siapakah yang akan bersedia menjadi 'teman' buat kita kongsikan dugaan dan ujian yang menguja empunya diri ini dari hari ke hari? Mungkin untuk tempoh yang panjang ?

Kesediaan manusia terbatas, kesabaran manusia terhad, kemurahan manusia bersempadan dan kita amat memerlukan bantuan yang berpanjangan serta mungkin di luar kemampuan manusia biasa.

Rasulullah saw mengajar kita agar sentiasa mendambakan diri hanya kepadaNya semata-mata. KepadaNya kita menghambakan diri dan kepadaNya jua kita memohon segala pertolongan.


"Ya Allah, aku berlindung denganMu daripada dukacita dan rasa sedih; aku berlindung denganMu daripada lemah dan malas; aku berlindung denganMu daripada sifat pengecut dan bakhil; dan aku berlindung denganMu daripada bebanan hutang dan penindasan orang."

Kisahnya,
Pada suatu hari Rasulullah SAW masuk ke masjid lalu terserempak seorang yang dipanggil Abu Umamah. Rasulullah SAW bersabda kepadanya: "Wahai Abu Umamah, aku lihat engkau duduk di masjid bukan pada waktu solat, kenapa?" Jawab Abu Umamah: "Dukacita dan hutang menyelubungiku, wahai Rasulullah!"

Jawab Rasulullah: "Mahukah kamu aku ajarkan suatu bacaan jika kamu membacanya Allah akan menghilangkan rasa dukacitamu dan melangsaikan hutangmu." Abu Umamah menjawab: "Ya, wahai Rasulullah." Baginda bersabda: "Apabila tiba waktu pada dan petang bacalah: اللهم إني أعوذ بك من الهم والحزن... (Doa di atas). Kata Abu Umamah: "Aku membaca doa tersebut, lalu Allah menghilangkan rasa dukacitaku dan melangsaikan hutangku."(Riwayat Abu Daud daripada Abu Said al-Khudri).

Ada baiknya kita beramal dengan doa ini pada setiap pagi atau petang agar terbina keakraban hubungan dengan Allah swt. Doa ini adalah sebahabian daripada 'Al-Ma'thurat', yang bermaksud amalan wirid, zikir dan doa yang berteraskan al-Quran dan al-Sunnah yang diamalkan oleh Nabi SAW dan dikumpulkan oleh al-Imam al-Syahid Hassan Al-Banna untuk menjadi manusia soleh.

Tanpa hubungan yang akrab dengan Allah jiwa kita akan menjadi keluh kesah kerana tiada kedamaian. Benarlah kata-kata Syeikhul Islam dalam al-Kalimuttayyib: "Tanpa zikrullah secara istiqamah, diri itu umpama ikan yang tercampak keluar dari airnya."

Mari kita ingati akan janji Allah swt di dalam al Quran yang bermaksud,
" ... Barangsiapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan membukakan jalan keluar bagiNya, dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusanNya. Sungguh, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu."


 ( Surah At-Talaq, 65: 2-3)

Selamat beramal....

- Artikel iluvislam.com

Ahad, 8 April 2012

Sahabat, Hati-hati Ketika Bergurau

Semua manusia di muka bumi ini adalah sama, Hamba ciptaan Allah swt. Tugasnya dicipta di atas dunia adalah untuk melakukan kebaikan dan menjauhi kemungkaran.

"Perumpamaan persaudaraan kaum muslimin dalam cinta dan kasih sayang di antara mereka adalah seumpama satu tubuh. Apabila satu anggota tubuh sakit maka mengakibatkan seluruh tubuh menjadi demam dan tidak bisa tidur." (Hadis riwayat Muslim)

"Seorang Muslim adalah saudara muslim lainnya, ia tidak menzaliminya, merendahkannya, menyerahkan (kepada musuh) dan tidak menghinakannya." 
(Hadis riwayat Muslim)

Adakalanya kita tidak merasa sedih dengan kata-kata kawan kita sebab kita selalu anggap itu semua gurauan. betul kan? tapi ingin saya tegaskan kat sini, kita semua manusia. Punya hati dan perasaan. Kadang-kadang tu boleh tapi jangan selalu. Buatlah 5 tahun sekali ke. 10 tahun 3 kali ke. Kalau dah hari yang sama, ramai "gurau" yang sama, macam mana kita pasti yang tuan punya badan tidak sedih?

Kepada yang gemuk:
Bayangkan kalau anda dikatakan GEMUK berulang-ulang kali oleh orang yang berlainan pada hari yang sama. Maaf,tapi jangan terasa dengan penulisan saya kali ini kerana saya juga seperti anda. Pernah merasa dihina atau cuba 'digurau'.

A: Eh,Ahmad ! ko macam belon la hari ni..
B: Ahmad, ko sorang je yang makan banyak ni wei. oh,aku paham. tengok badan la kan.
C: Dalam adik-beradik ko kan ahmad, ko ikut badan sape?
D: Eh Ahmad,kawan ko la tu (sambil tunjuk ke arah gajah)




Ya! Pada mulanya kita akan ketawa bersama-sama. Tapi kalau dalam satu masa, semua berkata benda yang sama, tidakkah itu menjadi tekanan padanya? Maaf, Ahmad hanya nama samaran.

Kepada yang pendek:
Tolong juga bayangkan situasi si pendek yang mana sama dengan si gemuk tadi. Bolehkan? tidak pelikkan kalau kita jumpa orang yang PENDEK + GEMUK.

Bentuk fizikal seseorang jangan sekali-kali kita cuba perlekehkan kerana itu adalah seindah-indah ciptaan daripadaNYA. Percayalah, pasti ada hikmah dari ALLAH SWT. Jangan merasa diri kita sempurna. Banyakkan muhasabah diri sendiri dan jangan perhatikan kesalahan atau kekurangan orang lain kerana mereka juga berhak merasa gembira bukan dihina atau diperkotak-katikkan. Bukan sahaja bentuk fizikal, malah apa sahaja kelemahan yang kita nampak dari seseorang itu kerana sempurna sangatkah kita?




Sahabat-sahabat semua, janganlah kalian suka mempersendakan orang. Saya bukan sebaik dan setabah yang disangka. Kadang-kadang air mata ini tetap mengalir. Kerana saya juga manusia biasa. Saya tahu saya banyak juga kelemahan daripada anda. Mungkin dengan cara anda "bergurau" boleh menggembirakan hati orang lain tapi ingatlah bukan semua sama seperti kita. Cuba kita letakkan diri kita sebagai seseorang itu. Kadang-kadang benda yang dah biasa kita dengar kita tidak akan terasa, malah kita lali dengan gurauan tersebut. Tapi nanti bila sampai satu saat, orang yang dikata itu akan terasa. Percayalah. Mungkin itu menjadi bahan gurauan buat anda dan boleh menggembirakan hati anda tapi ingat, itu merupakan kata-kata yang memberi tekanan dan sedih sebenarnya buat si dia.


"Sebaik baik sahabat di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik baik jiran di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya." 
(Hadis riwayat al-Hakim)

- Artikel iluvislam.com
 
Full design and Custom Blog Design by jiakreatifelt.com